USM PERKUKUH AGENDA SUKAN IPT SEBAGAI SALAH SATU LOKASI PENGANJURAN VSC 2026
NIBONG TEBAL, 16 April 2026 – Kejohanan Varsity Sports Championship (VSC) 2026 yang dilancarkan hari ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh pembangunan sukan berprestasi tinggi di institusi pengajian tinggi (IPT).
Program tersebut turut berperanan sebagai medan strategik dalam melahirkan atlet mahasiswa yang berpotensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata, penganjuran VSC merupakan satu model baharu yang diperkenalkan oleh kementerian melalui penjenamaan semula Program Sukan Utama yang telah dilaksanakan sejak tahun 2010.
Menurut beliau, inisiatif ini bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar IPT untuk mengembangkan bakat dalam bidang sukan, malah turut menyokong agenda pembangunan atlet negara secara menyeluruh.
“VSC menjadi platform yang lebih tersusun dan berimpak tinggi dalam mencungkil serta mengasah bakat atlet mahasiswa agar mampu mencapai standard kompetitif di peringkat global,” katanya ketika majlis pelancaran kejohanan tersebut di sini, hari ini.
Kejohanan VSC 2026 dijangka menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai IPT seluruh negara, melibatkan beberapa acara sukan utama yang berpotensi melahirkan atlet berprestasi tinggi.
Penganjuran ini selaras dengan komitmen KPT dalam memperkasa ekosistem sukan IPT serta memastikan kesinambungan pembangunan atlet pelapis negara.
- Hits: 27