BERAMBEH SISWA 4.0 PERKASA JALINAN KASIH SAYANG & KHIDMAT MASYARAKAT DI KAMPUNG ANAK AIR, KUANTAN
Nibong Tebal, 1 Mei 2026 – Suasana penuh kemeriahan, kasih sayang dan semangat kekeluargaan jelas dirasai sepanjang program Berambeh Siswa 4.0 anjuran Pembimbing Pelajar Siswa Lestari (PPSL) Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin yang berlangsung di Kampung Anak Air, Kuantan baru-baru ini.
Program selama lima hari bermula 1 hingga 5 Mei 2026 itu telah menghimpunkan seramai 53 orang pelajar daripada tahun satu hingga tahun empat bersama 14 keluarga angkat yang membuka pintu rumah dan hati mereka kepada para peserta. Menariknya, salah seorang keluarga angkat yang terlibat merupakan bekas Naib Canselor UMPSA, Prof. Emeritus Dato’ Sri Dr. Daing Nasir.
Diketuai oleh saudara Nazrul Danny bin Nazaruddin selaku Pengarah Projek yang juga pelajar Tahun 2 Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, program ini bukan sahaja menjadi platform khidmat masyarakat, malah berjaya mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat.
Selari dengan matlamat SDG17 iaitu “Kerjasama Demi Matlamat”, pelbagai aktiviti menarik dan santai telah dijalankan seperti gotong-royong, melukis mural, sukaneka, rewang kampung, lawatan ke Muzium Sungai Lembing, lawatan ke kilang pembuatan keropok serta pengisian rohani yang memberi pengalaman bermakna kepada semua peserta.
Kemuncak program berlangsung meriah pada malam penutup dengan kehadiran Tuan Haji Fadzilah bin Mohamad Tahir, Pegawai Khas Penyelaras DUN Tanjung Lumpur bersama En. Mohamad Farizal bin Mohd Nor, Ketua Kampung Anak Air. Turut hadir memeriahkan program ialah kakitangan dan Pegawai-Pegawai BHEPA yang diketuai oleh En. Mohd Hafiz Ali bin Mohd Anuar selaku Ketua Unit BHEPA Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin.
Program ini diharap dapat terus menjadi medium memperkukuh hubungan mahasiswa bersama masyarakat serta memupuk nilai empati, kerjasama dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.
Teks/Foto: Muhammad Iqbal Ihtisham bin Ramzi
Pengarah Projek: Nazrul Danny bin Nazaruddin
- Hits: 6